Tuesday, October 18, 2016

Layak ke Grand Final CIMB

Alhamdulillah... penampilan pertama dalam circuit ini telah membuahkan hasil, bila kedua-dua pemain kembar ini berjaya melayakkan diri ke Grand Final.

Semoga mendorong semangat untuk terus berlatih.

Friday, October 14, 2016

LATIHAN SETIAP SABTU

Setiap sabtu 9.00 pg hingga 12.30 tgh, MSN menyediakan pusat latihan khas, dikendalikan oleh 2 orang jurulatih sepenuh masa. Mereka adalah coach Faisal dan coach Syukri.

Program latihan ini benar-benar membantu 3 pemain bawah 9 tahun Dungun yang memberi sepenuh komitmen menghadiri latihan ini. Sememangnya pemain-pemain Dungun memerlukan tempat latihan dan sparing partner yang berbagai peringkat.

Semoga bintang-bintang dapat bersinar di Dungun.

Thursday, October 13, 2016

Langkahan Tg Muhammad

Alhamdulillah....
Sebagai coach saya amat seronok bila anak-anak didik samada diberi atau mendapat peluang menyertai kejohanan besar yang diiktiraf dan tersohor di peringkat negeri atau kebangsaan.
Hari ini peluang itu menjelma untuk Tg Muhammad apabila coach MSN En. Faisal, menawarkan peluang untuknya menyertai kejohanan Redtone pada bulan Disember nanti.
Semoga pelawaan ini menjadi kenyataan dan peluang keemasan untuk Tg Muhammad menguji bakat bermain dalam kategori yang sesuai.
Semoga menyemarakkan lagi semangat untuk terus berlatih secara konsisten.
Go Muhammad go...

Sunday, October 2, 2016

Kejohanan Skuasy Tertutup Terengganu 2016 ( siri 1 )



PENCAPAIAN TERBAIK DUNGUN TAHUN INI. NAIB JOHAN.



Kejohanan yang dilangsungkan sehari ini, memperlihatkan pasukan skuasy daerah Dungun sedang meredah waktu kepupusan. Hanya tiga pemain sahaja yang berumur 9 tahun mendaftar untuk penyertaan dalam kategori bawah 11 tahun, sedangkan ramai muka-muka baru dalam 2 kategori yang dipertandingkan disertai oleh Besut, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Kemaman.
Memang tercapai objektif MSN menganjurkan kejohanan untuk memberi pendedahan kepada pemain disamping membina minat, menggilap bakat dan meningkatkan potensi pemain. Bagi pemain-pemain pula kejohanan seumpama ini amat diperlukan untuk menilai bakat dan membina keyakinan diri masing-masing.

Tidak seperti permainan lain yang senang mendapat gelanggang, boleh bermain di mana-mana dan sesetengahnya pula peralatan pun disediakan dan mungkin boleh dipinjam sedangkan skuasy perlukan komitmen beli peralatan dan mencari gelanggang yang terlalu terhad, bahkan tidak semua daerah memiliki gelanggang. Justru kejohanan tertutup amat membantu para pemain dalam usaha mengembangkan bakat.
Kerancakan pemain-pemain baharu daripada daerah lain menyertai kejohanan ini memperlihatkan kepupusan hanya berlaku di Dungun sahaja. Memperlihatkan juga usaha-usaha berterusan yang dijalankan oleh MSN mendatangkan hasil untuk negeri Terengganu.

Alangkah lebih baiknya jika MSST  juga mampu berperanan menyokong usaha membina bakat ini. Bukan hanya sekadar mengadakan yang 'terpaksa ada', bertanya 'potensi atau tidak' dan hanya membuka peluang untuk yang dianggap potensi.Siapa yang cipta potensi tu? MSST? Apa pula standard ukuran potensi? Bagaimana pula pemain yang dikategorikan tidak berpotensi oleh sesetengah pegawai berkenaan? Di mana pula mereka hendak salurkan bakat dan hasil latihan mereka? Main depan rumah sebagai reket badminton atau bawa ke gelanggang tenis sebagai reket tenis?

Memang berbeza pemain skuasy Dungun dengan ramai pemain yang baru muncul dalam kejohanan ini daripada daerah-daerah lain. Mereka yang baharu muncul ini dibina untuk menyertai kejohanan ini, yang akan diadakan lagi untuk siri ke-2 dan akan dijadikan acara tahunan bermula tahun ini. Jika bakat mereka berjaya dikembangkan melalui kejohanan ini mungkin mereka terpilih pula untuk menyertai kejohanan anjuran MSST (bonus bagi mereka) yang bermula tahun ini menghadkan penyertaannya, bersistem kalah mati, konon untuk pemain yang berpotensi sahaja.
Sedangkan pemain Dungun dibina untuk menyertai saingan dalam kejohanan MSST, walaupun setahun sekali. Berlatih berbulan-bulan untuk sekali main. Komitmen ibubapa membeli reket dan kasut baharu menjelang kejohanan. Malang, tiba-tiba dimansuhkan kategori dan dihadkan penyertaan daripada 4 orang kepada dua orang sahaja. Dua orang lagi tu nak bawa reketnya kemana? Kasut dan reket baru dibeli, tiba-tiba dimaklumkan kategori mereka tidak dipertandingkan. Bagaimana agaknya penerimaan pelajar dan pemain-pemain ini? Bagaimana ibubapa mereka? Agak-agaknya mereka akan terus berlatih untuk persediaan kejohanan tahun hadapan? Mungkin mereka tidak menggantung reket lagi jika diketahui MSN akan mengambil inisiatif menganjur kejohanan tertutup begini.
Jelasnya, alasan penjimatan ini berjaya mencantas pemain-pemain di Dungun. Cuma tinggal 3 orang sahaja lagi pemain di Dungun yang turut menyertai kejohanan ini.
Mereka adalah pemain yang berumur 9 tahun. Kejohanan anjuran MSN ini memungkinkan mereka terus 'hidup' sebagai batu tanda kepada perkuburan pemain-pemain Dungun. Tahniah! kepada strategi penjimatan MSST yang berkesan. 

Keputusan Kejohanan Lelaki bawah 11 Tahun.

1. Ahmad Afnan, Sk Batu 7 Dungun - Naib Johan.
2. Ahmad Ainan, Sk Batu 7 Dungun - Ke-6
3. Tg. Muhammad, Sk Batu 7 Dungun - Ke-11.