Panduan Solat


PANDUAN SOLAT MUSAFIR UNTUK PERHATIAN PEMAIN-PEMAIN SQUASH.


Kita selalu terlibat dengan kejohanan yang dianjurkan di luar daerah Dungun, contohnya bila kejohanan skuasy MSST yang selalunya diadakan di Sekolah sukan Bukit Nenas, Setiu. Maka ketika itu kita dikira musafir, iaitu orang yang sedang dalam perjalanan jauh. Perjalanan itu bukan kerana untuk melakukan maksiat.

 

Perjalanan maksiat ialah perjalanan yang ingin melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah dan Rasul.

 

Berapa jauh perjalanan yang dikira musafir?

 

Kira-kira 93 kilometer. Perjalanan yang kurang dari jumlah itu dikira dekat dan BUKAN musafir.

Orang Musafir diberi KEMUDAHAN dalam menunaikan solat fardu.

Kemudahan itu ialah SOLAT JAMAK dan SOLAT QOSAR

 

PELAJARAN KEDUA

 

SOLAT JAMAK bermaksud menghimpunkan dua solat dalam satu waktu, contohnya solat zohor dan Asar, kedua-dua solat ini kita lakukan dalam satu waktu samada dalam waktu zohor atau dalam waktu Asar. 

 

SOLAT QOSAR pula bermaksud memendekkan solat yang empat rakaat kepada dua rakaat. Solat empat rakaat ialah Zohor, Asar dan Isyak.



Hukum Solat Jamak dan Qosar ini adalah HARUS. Maksudnya kalau nak sembahyang macam biasa pun boleh, nak jamak boleh, nak Qosar sahaja pun boleh dan nak jamak serta qosar serentak pun boleh.
MEMUDAHKAN ORANG MUSAFIR.



PELAJARAN KETIGA


Solat Jamak terbahagi kepada dua iaitu:

  1. JAMAK TAKDIM

  2. JAMAK TA'KHIR

 

JAMAK TAKDIM : contohnya, kita sembahyang Asar dalam waktu zohor. Bila masuk waktu zohor kita solat zohor dan bila selesai beri salam solat zohor, kita terus bangun dan tunaikan solat Asar walaupun sekarang masih waktu Zohor. 

Kalau kita niat juga qosar, kita hanya sembahyang 2 rakaat zohor dan 2 rakaat Asar.

Begitu juga, bila masuk waktu Maghrib kita solat maghrib dan kita niat untuk jamak dengan Isyak. Selesai beri salam solat Maghrib terus kita sambung pula solat Isyak 2 rakaat kalau niat nak qosar.

 

Niat ketika Takbiratul Ihram : Aku nak solat zohor dan Asar secara Jamak kerana Allah  atau kita niat solat zohor dahulu dan ketika dalam solat zohor tu (sebelum beri salam) kita niat pula nak jamak dengan solat Asar, kalau nak Qosar niat juga nak Qosar.

 

Niat : Apa yang kita terlintas dalam hati kita nak buat dan akan buat, itulah niat dan tidak semestinya tersusun dalam bentuk ayat. 

PELAJARAN KEEMPAT

 

JAMAK TA'KHIR : Contoh, perlawanan kita mengikut jadual akan berlangsung pada pukul 7.00 malam, berkemungkinan tidak sempat untuk solat maghrib. 

Atau waktu maghrib kita dalam perjalanan pulang ke hotel, berkemungkinan tidak sempat dengan waktu maghrib yang amat pendek kerana kesesakan lalulintas.

Caranya : 

Masuk sahaja waktu maghrib, terus niat ( di mana sahaja boleh niat ) " Aku nak solat Maghrib ni Jamak Ta'khir kerana Allah "

Dalam waktu Isyak nanti, kita solat Isyak samada biasa (4 rakaat) atau Qosar (2 rakaat) dan setelah beri salam terus bangun solat Maghrib.

Kalau nak solat Maghrib dulu pun boleh.

Begitu juga dengan zohor, nak dilaksanakan dalam waktu Asar. Mesti niat dahulu dalam waktu Zohor untuk Jamak Ta'khir.

Peringatan: 

  1. WAJIB niat dalam waktu pertama untuk JAMAK TA'KHIR. Samada dalam waktu Zohor atau waktu Maghrib. 

  2. Solat Subuh TIDAK BOLEH Jamak dan tidak boleh qosar.

  3. SOLAT MAGHRIB tidak boleh Qosar, solat EMPAT rakaat sahaja yang boleh di Qosarkan.

 

PELAJARAN KELIMA

Berapa hari perjalanan boleh jamak dan qosar?

Kalau dalam soalan peperiksaan di sekolah pemain-pemain mesti jawab sebagaimana skima peperiksaan iaitu " 3 hari tidak termasuk hari perjalanan".

 

Dalam panduan solat pemain ini:

Para pemain boleh laksanakan solat jamak dan qoasr selama tempoh kejohanan berlangsung yang kerap juga berlangsung selama 5 hari. 

 

 

PENDAPAT2 ULAMA'

Fuqaha' berselisih pendapat mengenai bilangan hari yang boleh diqasar solat.

 

Bagi fuqaha' Hanafi mereka berpendapat tidak boleh diqasarkan solat jika seseorang berniat untuk bermukim selama 18 hari ke atas kerana berdasarkan ucapan Ibn Abbas dan Ibn Umar: "Apabila anda tiba di sebuah negara dalam keadaan anda bermusafir dan anda berniat untuk bermukim selama 15 malam, maka sempurnakan solat anda, tetapi jika anda tidak mengetahui bila anda akan musafir meninggalkan negara itu, anda boleh qasar solat anda." Hadis ini dikeluarkan oleh Imam al-Tirmizi.

Fuqaha' as-Syafie berpendapat tidak boleh diqasarkan solat, jika seseorang berniat untuk bermukim (menetap) selama 18 hari berdasarkan hadis Imran bin Husain yang berkata: "Aku musafir bersama Rasulullah SAW. Aku juga terbabit dengan Baginda SAW semasa pembukaan Makkah. Baginda SAW bermukim di Makkah selama 18 malam. Baginda tidak bersolat kecuali dua rakaat saja. Baginda SAW bersabda (yang bermaksud): "Wahai penduduk Makkah, solatlah kamu sekalian sebanyak empat rakaat, kerana kami adalah kaum yang musafir." Hadis ini dikeluarkan oleh as-Syafie secara panjang lebar dan juga Abu Daud.

 

 

PENDAPAT2 LAIN ULAMA'

 

Terdapat pendapat dari kalangan Ulama yang membenarkan seseorang itu menjamak dan menqasarkan solatnya walaupun melebihi daripada 3 hari , dengan syarat ia tidak berniat untuk bermaustatin di atau menetap di tempat tersebut.dalam erti kata lain , ia pergi bermusafir atas suatu urusan dan akan kembali semula ke tempat tinggalnya.

Dalilnya , ialah hadis Anas bin Malik ra :

خرجنا مع رسول الله صلى الله عليه وسلم من المدينة الى مكة فكان يصلى ركعتين ركعتين حتى رجعنا الى المدينة

Kami telah keluar (bermusafir) bersama Rasulullah saw dari Madinah ke Mekkah.Maka Baginda saw bersolat dengan 2 rakaat 2 rakaat sehinggalah kami pulang” 

 

 والله أعلم بالصواب

 

SOLAT JUMAAT BAGI ORANG MUSAFIR  (LELAKI SHJ)

Hukumnya : Harus ( tidak wajib) dengan syarat perjalanan tersebut SEBELUM subuh pagi Jumaat tersebut.

Kalau perjalanan selepas subuh pada hari Jumaat, maka solat jumaat itu tetap wajib.

Kalau perjalanan bermula hari khamis, maka perjalanan itu tentulah sebelum subuh hari Jumaat. Jadi, solat Jumaat itu tidak wajib .

 

 

JANGAN SESEKALI ABAIKAN SOLAT. 

SOLAT ITU MUDAH DAN DIBERI KEMUDAHAN TETAPI JANGAN DIPERMUDAH-MUDAHKAN.